Monday, February 9, 2015

SEMINGGU BOLA (09 Februari 2015)

Sepakmula Liga M telah mengambil tempat. Kehangatan bolasepak tempatan dirasai sepelusuk Malaya. Ratusan juta telah dilaburkan semua pasukan. Peminat mengharapkan kebangkitan sebenar bolasepak Malaya.

Detik menarik minggu ini dimulakan dengan kecemerlangan JDT mengungguli Piala Sumbangsih seterusnya mencipta sejarah Malaya dengan melayakkan diri ke pusingan kedua Kelayakan Liga Juara-juara Asia.

Aksi minggu pertama Liga Super dan Perdana dihiasi dengan penguasaan pemain-pemain import dalam menghasilkan jaringan buat pasukan masing-masing. Rata-rata pasukan mengambil peluang menurunkan 4 pemain import serentak yang mengundang seribu kerisauan kepada bakat tempatan. Apakah Dollah Salleh dan Ong Kim Swee tidak resah akan situasi ini? Kita lihat impaknya pada minggu-minggu mendatang.

Stadium Merdeka gelanggang bersejarah Malaya dibuka semula untuk kancah Liga Perdana namun ianya dicemuh bintang dunia El Hadji Diouf yang mempersoalkan mutu padang berkualiti rendah. Saban tahun FAM sibuk dengan aksi lampu limpah, saban tahun juga mereka terlupa bahawa kualiti padang di dalam pelaksanaan liga yang profesional adalah lebih penting. Banyak lagi venue yang turut tidak menepati aspek kualiti dan standard yang diperlukan. Memalukan, itu sahaja rumusannya buat FAM.

Sungguh terkesan bilamana pada musim ini Astro tidak menayangkan siaran langsung untuk liga tempatan. Seluruh Malaya mengeluh dengan mutu hidangan mata yang dipertontonkan oleh RTM dan Media Prima yang seolah olah membawa kembali peminat menonton perlawanan-perlawanan klasik.

Lions XII dan Kedah pasukan pertama merajai takhta liga. Tahniah buat kedua pasukan yang tidak menunggu lama bagi mendapat rentak. Lima gol disumbatkan oleh pemain mereka pada perlawanan pertama.

Sedikit dari luar negara, Atletico Madrid menunjukkan teladan bahawa pasukan yang tidak berbelanja besar tidak mustahil untuk berjaya asalkan mereka punya komitmen padu untuk mencipta kejayaan. Tiada pasukan sekaya mana pun tidak boleh dibelasah. HAHA Madrid diucapkan sinis kepada laungan Hala Madrid.

Tahniah diucapkan kepada skuad bawah 22 negara yang menjuarai Piala Bangabandhu 2015 apabila menewaskan pasukan tuanrumah di perlawanan akhir. Satu kejayaan yang manis. Turut menceriakan sukan Malaya adalah skuad sepaktakraw yang mencipta sejarah menghapuskan badi menewaskan pasukan Thailand pada Siri Super Istaf 2 di Melaka.

Buat minggu ini, inilah rentak bola Malaya.

No comments: