Friday, February 13, 2015

PAROI KEMBALI

Paroi membuka gelanggang. Pentas pertama musim ini di laman sendiri buat Sekalian Yang Setia pasti dinanti nanti. Setelah 3 mata dipungut di gelanggang lawan sebelum ini pastinya momentum kemenangan ditagih dengan lebih gemilang.

Harapan Sekalian Yang Setia mahu menjadikan STAR of Paroi menjadi gelanggang keramat pentas yang menghadirkan igauan buat semua lawan yang bertandang.

Setelah sekian lama Paroi gagal menghasilkan rekod tanpa kalah semusim, inilah masanya. Cabaran dilontar buat pasukan Negeri Sembilan, pastikan Paroi tidak ditewaskan untuk semua saingan sepanjang musim.

UITM FC mangsa pertama yang bertandang. Dilihat di atas kertas, tiada yang meragukan untuk The Niners mengutip tiga mata. Namun jangan sesekali memandang mudah seperti minggu lalu apabila sikap bersahaja dan sambil lewa di awal perlawanan, DRB Hicom menghadirkan kejutan dengan gol pendahuluan.

Tidak banyak yang diketahui mengenai pasukan UITM FC, namun pastinya saingan akan diberi lawan. Pasukan yang dipimpin oleh Azuan Zain pastinya sudah bersedia untuk memadam luka apabila tewas di tempat sendiri ketika bertemu JDT2 minggu lalu.

Harus diingat pasukan ini adalah pasukan asas kepada skuad negara yang bertanding di Sukan Universiti Dunia baru-baru ini. Malah mereka juga mempersiapkan diri dengan mengadakan perlawanan persahabatan di Indonesia. Satu persiapan yang baik membayangkan pasukan ini bakal memberi tentangan bermakna.

Kem The Niners yang dilanda kecederaan dijangka melakukan sedikit perubahan dalam kesebelasan utama. Kim Jim Ryong dan Hazery Hamid mungkin memulakan aksi sebagai pemain utama. Sekali lagi kita mengharapkan K.Devan terus mempertaruh pemain muda seperti Radzuan, Hazery dan Izzudin untuk menyinar pada perlawanan hari ini.

Kemenangan bergaya dengan permainan yang menarik harus dipertontonkan di Paroi bagi mengembalikan seluruh peminat memenuhi segenap ruang STAR Paroi. Sekalian Yang Setia dahagakan kemenangan dahagakan kejuaraan.Ayuh para pemain mulakanlah langkah gemilang.

Sokongan padu dari peminat Hobin Jang Hobin pasti bergema hari ini namun sedikit saranan agar seluruh peminat tidak terlalu bergembira kerana kita kehilangan dua tokoh besar serentak semalam. Penuhi stadium dengan sokongan padu yang terkawal kerana negara di dalam kesedihan. Dokan kesejahteraan buat mereka.

INI DARAH WAGHIEH!

No comments: