Thursday, February 19, 2015

BINGKAS BANGUN

Stadium MBPJ Kelana Jaya menjadi pentas seterusnya untuk ditakluk oleh The Niners. Lawan yang bakal ditemui sekali lagi bukanlah lawan sebenar iaitu KL SPA Putrajaya FC.

Sasaran skuad Hobin Jang Hobin bagi menggapai 9 mata maksimum bagi saingan liga di bulan Februari seakan mudah dicapai. KL SPA penghuni tercorot liga ketika ini telah melepaskan 10 gol tanpa sebarang mata dalam dua perlawanan sebelum ini. Berbeza dengan pencapaian Nismilan setakat ini. Tiada sebab bagi Nismilan kehilangan 3 mata pada aksi ini.

Yang membimbangkan adalah prestasi. Ternyata permainan yang ditunjukkan oleh Nismilan sebelum ini langsung tidak memikat Sekalian Yang Setia walaupun memenangi dua perlawanan berturut. K. Devan mungkin punya alasan keterhadan dalam memilih barisan terbaik akibat pasukan dilanda kecederaan demi kecederaan.

Terbaru kita kehilangan aksi Kim Jim Ryong namun kita mendapat semula sentuhan Sivanesan. Fauzi Shaari dan Shahrizal Saad juga bersedia untuk dipertaruh sebagai kesebelasan utama.

K. Devan seharusnya mempelbagai variasi taktikal dalam serangan. Sandaran hanya tertumpu pada Francis Forkey Doe perlu dielakkan. Jika ketiadaan Forkey Doe pasti mengundang masalah besar pada The Niners.

Nismilan juga ketandusan pemain sayap mengancam yang sentiasa membuat larian bahaya ke kubu lawan. Puaneswaran langsung tidak membantu, Izzudin layak menjadi pilihan pertama.

Apapun Sekalian Yang Setia terus mendoakan kejayaan buat pasukan Nismilan dan mengharapkan mereka menemui rentak sebenar dengan mempamer aksi yang setimpal dengan pelaburan besar yang dibelanjakan.

KL SPA perlu diratah, pemain lain juga dituntut mencetak nama sebagai penjaring, tiga mata bergaya harus dibawa pulang.

MUSUHNYA HABIS BINASA
INI DARAH WAGHIEH!

No comments: