Monday, February 16, 2015

SEMINGGU BOLA (16 Februari 2015)


Minggu penuh duka bagi bolasepak Malaya. Rentetan peristiwa suram memenuhi kalendar minggu ini.

Brendan Gan mendapat perkhabaran buruk apabila pakar perubatan mengesahkan beliau harus melupakan aksi liga musim ini setelah ditimpa kecederaan teruk di lutut. Baru sahaja dibawa masuk beberapa minit sebagai pemain gantian beliau mengalami nasib malang tersebut seterusnya dibawa keluar.

Stadium Merdeka gelanggang bersejarah kini perlu dilupakan sebagai gelanggang saingan Liga Perdana. Selepas dikritik teruk akibat mutu padang yang mengecewakan, FAM bertindak mengarahkan Kuala Lumpur untuk memilih stadium lain sebagai gelanggang tuan rumah. Stadium MBPJ dan beberapa stadium lain juga turut mendapat kritikan sama, namun FAM belum mengenakan sebarang tindakan.

Sekali lagi mutu dan kualiti padang di liga profesional menjadi bualan. FAM sewajibnya mengambil serius perkara ini ke arah mencapai standard tinggi dalam penganjuran liga kebangsaan.


Negara dikejutkan dengan pemergian Tokoh Suara Sukan Negara Dato Hasbullah Awang yang telah kembali dipanggil Ilahi. Pengulas sukan tersohor negara itu pasti dirindui suaranya yang sentiasa menemani kita di kaca televisyen. Ulasan Almarhum amat dekat di hati para peminat sukan negara. Semoga kesejahteraan dilimpahkan ke atas Almarhum.

Pentas Liga M sekali lagi dicacatkan oleh penyokong tidak bertamadun. Stadium Darul Makmur diganggu dengan nyalaan suar oleh peminat nakal yang masih tidak faham atau sengaja mengingkari larangan yang telah ditetapkan. Di saat penyokong melaung-laungkan dan menuntut keprofesionalisme yang tinggi dari pemain dan badan induk FAM, mereka ini pula yang bertindak sebaliknya. Penyokong juga perlu profesional dalam memberikan sokongan kepada pasukan masing-masing.

Kelantan dan JDT2 kini mengambil giliran mendahului Liga Super dan Liga Perdana apabila masing-masing meraih kemenangan kedua.Perak dan Negeri Sembilan turut mengumpul mata maksimum namun mereka dibezakan dengan jaringan.

Begitulah rentak dan warna seminggu bola Malaya minggu ini.

No comments: