Friday, February 6, 2015

Misi Liga Super 2016 bermula!


 "Sebagai anak jati, saya mahu lihat pasukan Negeri Sembilan kembali ke Liga Super musim depan." - K. Devan
Sekalian Yang Setia bertarung kembali. Musim baru yang menjanjikan cabaran lebih besar perlu diharungi. Persembahan buruk igauan lampau perlu dilupakan. Harapan palsu yang dipertaruhkan PBNS musim-musim lalu wajib ditunaikan kali ini. Tidak lain tidak bukan, mahu atau tidak mahu LIGA SUPER 2016 medan pertempuran yang dipertaruhkan.

Sejarah tercipta musim baru ini apabila PBNS dengan beraninya melaburkan perbelanjaan terbesar pernah dilakukan bagi membeli kejayaan untuk mengembalikan segera maruah Sekalian Yang Setia yang telah tercalar 4 tahun kebelakangan ini. Nama-nama besar menguasai separuh daripada skuad The Niners musim ini.

Hari ini bermula perjuangan. Stadium Hang Jebat, Melaka bakal menyaksikan pahlawan The Niners memperaga ketajaman menentang skuad yang boleh dianggap bukan pencabar sebenar DRB-Hicom. Dengan barisan yang ada Nismilan tidak boleh sekalipun tercicir walau satu mata. Jaringan yang besar juga perlu dimanfaatkan.

Kesebelasan utama Nismilan kemungkinan besar tidak dibarisi barisan utama akibat ramai tonggak yang ditimpa kecederaan. Namun tiada masalah bagi K. Devan kerana Nismilan mempunyai barisan simpanan yang boleh menggantikan pemain utama pada bila-bila masa. 


Helmi Eliza sudah pasti sebagai penjaga gawang. Jean Alexandre dijangka berganding bersama Azizi dan diapit oleh Irwan dan Fauzi di barisan benteng. Rezal sebagai ketua pasukan akan membentuk gandingan bersama Sivanesan dan arkitek utama Bruno di bahagian tengah manakala Dzaidin dan Puaneswaran bertindak sebagai pemain sayap. Forkey Doe sudah pasti sebagai peledak unggul ditagih mengekalkan rekod cemerlang sepanjang pra musim bagi memburu jaringan demi jaringan.

Tidak banyak yang diketahui mengenai barisan lawan yang dibimbing Marshall Soper. Barisan muda yang diketuai oleh Abdullah Yusof hanya dianggotai 3 pemain import. Ivan Babic yang pernah bersama skuad waghieh musim lepas sedikit kekuatan dan kelemahan Nismilan.


Kesilapan besar DRB-Hicom apabila tidak menyambung kontrak penjaring terbanyak mereka musim lalu Ogunbuye Izikiel pasti dirasai, namun mereka mendapat pengganti paling ampuh seperti Aminudin Shaharudin, bekas legenda skuad The Niners tika dulu. Beliau pasti saja menggerunkan dan membuatkan benteng Nismilan perlu fokus sepanjang 90 minit.

Ayuh Sekalian Yang Setia, kita mulakan perjuangan ini dengan semangat baru senjata baru. Misi Liga Super 2016 perlu digapai dengan apa saja cara kali ini. Doa dan sokongan padu waghieh semua dituntut. TIGO MATO wajib dibawa pulang.

INI DARAH WAGHIEH!!!

No comments: