Pusingan Pertama Piala FA 2015
Tirai aksi Piala FA 2015 dibuka. Satu-satunya aksi berprestij yang disertai skuad The Niners tahun ini, aksi yang menjamin tempat ke kejohanan AFC bagi pasukan yang bergelar juara.
Dalam diam PBNS menyasarkan Juara Piala FA menjadi idaman pada musim ini. Sasaran yang tidak dihebahkan kepada peminat kerana khuatir 'hutang' PBNS pada 2011 yang menjanjikan 3 piala dirangkul semusim diungkit kembali Sekalian Yang Setia. Jika dihitung sehingga musim ini bukan sahaja tiga piala gagal dijuarai semusim malah sudah memasuki musim ke 5, hanya satu piala sahaja iaitu Piala Sumbangsih 2011 yang menghiasi almari PBNS.
Dilihat di atas kertas, nama-nama besar dibawa masuk, pelaburan tertinggi dibelanjakan memberikan harapan bahawa sasaran yang diimpikan bukanlah harapan palsu. Namun jika diperhati aksi tiga perlawanan awal dan beberapa perlawanan pra musim, nyata Sekalian Yang Setia dibuai mimpi sekali lagi.
Aksi yang dipertonton barisan bintang sebelum ini melayakkan mereka sekadar bersaing di liga bawahan, belum mampu untuk mencabar pasukan pasukan elit di Liga Super. Walaupun kedudukan di tempat kedua liga dan rekod tanpa kalah tetapi bagi peminat yang bijak mereka menilai melalui kualiti prestasi bukan pada keputusan dan kedudukan.
Laluan cukup berliku bagi The Niners untuk mara jauh dalam undian kali ini. UiTM FC mungkin boleh diatasi tetapi lawan selepas itu yang menanti mungkin Pulau Pinang, JDT dan Kelantan bagi menempah tempat ke final.
Jangan dipandang mudah pada UITM FC. Pasukan ini walaupun ditewaskan di Paroi dalam aksi liga tempohari, namun aksi mereka meyakinkan. Permainan tersusun yang dicorakkan pasti boleh mendatangkan kejutan pada Nismilan.
The Niners masih belum dapat menurunkan barisan terkuat, perkara yang membelenggu K. Devan adalah kecederaan yang menimpa ramai pemain skuad Rusa. Tidak salah sekiranya pemain pemain skuad Piala Presiden dibawa masuk bagi memberi nafas baru dan ruang pilihan bagi jurulatih mempelbagai taktikal yang kelihatan membosankan sebelum ini.
Apapun Sekalian Yang Setia tetap berdiri teguh mendoakan yang terbaik buat pasukan kesayangan. Sokongan padu di Paroi akan terus dilaungkan. Ayuh kita beramai ramai meng'kuning'kan Paroi. Sorakan keramat MUSUHNYA HABIS BINASA akan kembali menggerunkan setiap lawan yang hadir. Hanya kemenangan yang dicari.
INI DARAH WAGHIEH!!

No comments:
Post a Comment