Saturday, February 14, 2015

Menang tapi hambar

Tiga mata lagi berjaya dipungut skuad The Niners di gelanggang keramat mereka malam tadi.

Turun dengan semangat baru di hadapan hampir 5000 Sekalian Yang Setia mereka memulakan aksi dengan bergemanya lagu kebesaran Negeri Sembilan yang nyata mendatangkan aura ke seluruh pelusuk stadium.

Dua pertukaran dilakukan K. Devan bagi kesebelasan utama apabila meletakkan Kim Jim Ryong dan Ahmad Hazeri menggantikan Izzudin dan Sivanesan. Mereka bermula garang pada awal permainan namun seperti ketumpulan idea dalam mencorak serangan. Hanya hantaran jauh menuju kepada Forkey Doe menjadi santapan yang mudah ditangani benteng UiTM FC. 

UiTM FC tidak mengecewakan dengan permainan tersusun mereka dan tiada rasa gentar buat mereka beraksi menentang pasukan bintang di gelanggang lawan.

Bruno Marteloto merubah perlawanan apabila menukar serangan dari kanan membuat hantaran yang berjaya disudahkan Forkey Doe pada minit ke-38. Nismilan mendahului 1-0 pada separuh pertama yang hambar.

Separuh masa kedua sekali lagi permainan Nismilan seperti hilang punca. Acapkali pemain kehilangan bola dengan mudah dan hanya membiarkan Bruno dan Forkey Doe sahaja yang cuba memecah benteng lawan. Kehadiran Puaneswaran dan Kim seperti tidak dirasakan apabila mereka tidak banyak membantu mencipta gerakan. Hasil keadaan kelam kabut pada minit ke-80 sekali lagi Forkey Doe membuktikan ketajaman dengan gol kedua peribadi.

Kemenangan berjaya dicipta namun apa yang merisaukan adalah persembahan pasukan The Niners yang masih belum mencapai tahap yang diharapkan. Pengurus pasukan Negeri Sembilan, Dato Ghani Hassan dilaporkan berang dengan persembahan yang ditunjukkan keseluruhan pemain sehinggakan melarang jurulatih dan para pemain dari memberikan kenyataan media.

" Negeri Sembilan harus menunjukkan mutu permainan sebenar setimpal dengan pelaburan besar yang dibelanjakan musim ini pada perlawanan mendatang " ujar seorang penyokong ketika ditemui.

Tiga mata yang dihasilkan juga perlu dibayar dengan harga yang mahal apabila Kim didapati mengalami kecederaan yang serius di bahagian lutut. Turut mendapat kecederaan adalah Rezal Zambery dan Fauzi Shaari. K.Devan harus bijak menangani masalah kecederaan pemain bagi mempersiapkan pasukan untuk perlawanan akan datang.

No comments: