Friday, March 13, 2015

KEKALKAN TAKHTA


Pertemuan seterusnya buat skuad Hobin Jang Hobin adalah menanti kunjungan T-Team di gelanggang keramat Paroi. T-Team pasukan yang sedang berada di kemuncak prestasi mendatangkan sedikit gerun apabila mereka sebelum ini bergaya mengetepikan JDT2 dalam saingan liga dan ATM di persaingan Piala FA.

Mungkin inilah lawan pertama buat The Niners musim ini yang boleh mengukur keupayaan sebenar memandangkan The Niners hanya berhadapan pasukan lemah atau bukan pencabar sebelum ini. Kemenangan di dalam perlawanan ini pastinya menjadi titik permulaan ke arah kebangkitan sebenar Nismilan musim ini ke arah menuju destinasi Liga Super 2016 selain melonjak semangat pasukan bagi menghadapi saingan kedua Piala FA pada minggu hadapan.

Peningkatan prestasi yang ditunjukkan di Kuantan tempohari memberikan sinar bahawa The Niners berada di landasan yang tepat. Kembalinya pemain pemain utama dari kecederaan seperti Khyril, Sivanesan dan Rudi memberikan K. Devan lebih pilihan di dalam merencana strategi terbaik.

Sekalian Yang Setia peminat tidak mahu melihat lagi pemain pemain baru yang dibawa masuk musim ini terus memenuhi bangku simpanan akibat kecederaan. Peminat tertanya-tanya apakah pelaburan besar yang dibelanjakan hanya pembaziran apabila hanya Rezal, Helmi dan Irwan sahaja acapkali membarisi kesebelasan sedangkan baki yang lain bergelut dengan kecederaan yang berpanjangan.

Sentuhan berbisa Forkey Doe terus ditagih. Rekod cemerlang beliau perlu dikekalkan justeru bahagian tengah harus cemerlang di dalam mencipta peluang. Aksi konsisten Bruno dan Fauzi menjadi nadi penggerak. Sivanesan dan Akmal pilihan terbaik sebagai kesebelasan utama.

Benteng lawan yang agak liat diketuai oleh ketua pasukan David Oniya perlu diambil kira oleh K. Devan dalam mempelbagai variasi serangan. Ketajaman penyerang mereka Farhad Tadjiev yang makin menemui rentak juga faktor yang perlu diawasi Jean Alexandre dan rakan-rakan.

Hanya kemenangan dicari bagi terus mengekalkan The Niners di tangga teratas liga sehingga April nanti. Sokongan satu penyokong satu bendera dari Sekalian Yang Setia pasti menyemarak semangat pasukan. Ayuh waghih kita penuhkan Paroi. Pasukan anda adalah pendahulu liga namun kehadiran di Paroi setakat ini mengecewakan. Alangkah meriahnya jika Paroi dipenuhi 10,000 Sekalian Yang Setia malam esok. Pasti Musuhnya Habis Binasa!

INI DARAH WAGHIEH!

No comments: